Thursday, 25 August 2011

Sabar


Assalamualaikum

KITA tidak boleh mengawal hati orang lain. Apa yang hendak mereka kata dan fikir semuanya di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka yang akan melantunkan tindakan serta perangai.

Jika baik hati mereka, baiklah cakap, layanan dan sangkaan mereka tetapi jika hati mereka kotor, maka tindakan akan menterjemahkan segala hitam yang bersarang di kotak hati itu.

Kadangkala, kita sudah lakukan yang terbaik tetapi mereka kata kita main-main. Kita sudah berubah menjadi baik, mereka kata hendak menunjuk-nunjuk.

Kita lakukan dengan ikhlas, mereka kata ada udang di sebalik batu. Rasanya kita sudah boleh agak apa perasaan jika berada dalam situasi begitu.

Tentu marah bukan? Justeru, kita perlu banyakkan bersabar dan bertenang kerana yang mengukur baik dan buruk bukannya manusia. Yang memberi kehidupan bukannya mereka kerana manusia tidak ada kuasa.


Hanya Allah s.w.t yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Dialah yang ukur kebaikan kita, memberi rezeki dan memberi kehidupan kepada kita.

Allah yang Maha Kuasa jugalah yang melarang buruk sangka (suu zann).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Jauhilah kamu daripada buruk sangka kerana buruk sangka ialah seburuk-buruk berita.

Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring. Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir.

Jika hati yang berbaur dosa dan dengki mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan ini mesti pakai susuk. Jika ada yang berpakaian cantik dikatanya ini mesti hendak menunjuk-nunjuk.

Tetapi jika pakai selekeh pula dikatanya memang selekeh betul.  Jika ada yang pakai barang kemas dikatanya sengajalah tu hendak tunjuk kaya. Jika tidak ada apa-apa pada tangan dikata pula sebagai orang miskin.

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. Memang manusia punya hak untuk bersangka.

Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmonis, disenangi dan mudah dapat kawan. Jika sangkaan buruk, jiwa sendiri yang sengsara.

Hati sakit saja. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata, semua tidak kena. Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan.

Tabiat sangka buruk terkena kepada semua golongan. Yang tua dengan cara dan kepakarannya manakala yang muda dengan kehangatannya.

Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita. Lihat sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya menaiki seekor keldai.

Dalam perjalanan orang kata: Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu. Selepas itu. Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah.

Orang kata juga: Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah. Tukar posisi pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. Orang kata juga, anak apa itu buat ayah dia macam hamba.

Justeru, cara terbaik ialah merawat penyakit buruk sangka ini. Di sini disarankan beberapa cadangan antaranya:
  • Berbaik sangka dengan semua orang.
  • Tafsirkan segala yang kita lihat dengan positif.
  • Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan ancaman azab Allah dengan buruk sangka.
  • Sucikan hati dengan memperbanyakkan zikir.
  • Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.
  • Melakukan muhasabah diri. 

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan kesan kasut selipar anda d sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...