Assalamualaikum....
Artikel ni Cik Kasut terbaca dalam mega agama. untuk makluman dan rujukan kita bersama.
Tajuk perbincangan yang saya kira amat menarik ialah memadukan dua bersaudara. Yang menarik dan mengejutkan, betapa ramai orang tidak mengetahui bahawa perbuatan memadukan dua bersaudara itu adalah HARAM.
Barangkali isu ini tidak timbul kerana masyarakat merasakan ia tidak berlaku atau kemungkinan ia berlaku adalah tipis. Namun ia telah dan tetap berlaku, maka ia perlu dijelaskan.
Merujuk Surah Al-Nisa' ayat 23, selain daripada dua beradik, haram juga hukumnya memadukan anak saudara dengan ibu saudaranya. Maksudnya di sini, jika A telah berkahwin dengan B, kemudian A berkahwin pula dengan C, ibu saudara B iaitu adik kepada emak B atau ayah B.
Dalam riwayat Trimidzi ada disebut: ''janganlah seseorang perempuan berkahwin di atas perkahwinan ibu saudaranya dan janganlah ibu saudara sebelah bapa berkahwin ke atas perkahwinan anak perempuan kepada saudaranya, janganlah seorang perempuan berkahwin di atas perkahwinan emak saudaranya sebelah ibunya, janganlah emak saudara sebelah ibunya berkahwin di atas perkahwinan anak perempuan saudaranya. Janganlah kakak berkahwin di atas perkahwinan adiknya dan janganlah adik berkahwin di atas perkahwinan kakaknya.''
Yang jelas bukan sahaja memadukan dua beradik perempuan itu HARAM, tetapi memadukan anak saudara dengan ibu saudaranya sebelah ibu atau ayah juga HARAM. Ini kerana poligami itu sendiri jika dilaksanakan di kalangan orang yang tidak bersaudara menimbulkan pelbagai perbalahan dan sengketa, maka jika ia dibuat antara dua beradik, maka akan putuslah tali silaturahim.
Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Ibnu Hibban : "Bahawa jika kamu melakukan yang demikian itu (memadukan dua bersaudara atau ibu saudara denga nanak saudara) kamu telah memutuskan tali kasih sayang sesama kamu".
Ini adalah tegahan yang sememangnya telah wujud keran Rasulullah SAW tahu poligami boleh menimbulkan sengketa dan perbalahan.
Dari sudut hukum jika perkahwinan telah berlaku :
- Jika seorang lelaki menikahi dua perempuan bersaudara dalam satu akad, kedua-dua pernikahan itu FASIK tetapi TIDAK BATAL. Pasangan perlu dipisahkan dan jika mereka dipisahkan sebelum persetubuhan berlaku, maka kedua-duanya tidak mendapat apa-apa dan tiada iddah. Jika telah berlaku persetubuhan, menurut Hanafi, setiap seorang berhak kepada mahar mithli dengan syarat tidak melebihi mahar musamma dan keduanya perlu beriddah.
- Jika seorang lelaki menikahi A dahulu dan kemudian menikahi adik A iaitu B kemudian, maka dari segi hukum, PERNIKAHAN PERTAMA SAH dan yang KEDUA FASIK. Isteri kedua tidak mendapat apa-apa sekiranya belum berlaku persetubuhan. Jika telah berlaku persetubuhan maka, perlu membayar mahar mithli yang tidak melebihi mahar musamma dan isteri kedua wajib beriddah. Ini kerana hubungan subhah atau kesamaran. SUAMI TIDAK BOLEH BERSETUBUH DENGAN ISTERI PERTAMANYA SEHINGGA ISTERI KEDUA SELESAI BERIDDAH.
- Perlu diingat jika suami menceraikan isteri pertamanya dengan talak yang boleh dirujuk, maka dia hanya boleh berkahwin dengan adik bekas isterinya selepas tamat iddah bekas isterinya. Jika dilihat fakta ini, wujudnya hukum kerana kebarangkalian perkara seperti ini berlaku ada. Ia memang ada ada memang berlaku. Lantaran itu, dalam Islam adalah amat penting menjaga perlakuan dan pergaulan walaupun hubungan adik-beradik dan ipar. Jika sumbang mahram boleh berlaku seperti abang menjalin hubungan dengan adik perempuan kerana pergaulan adik beradik yang tidak berlandaskan hukum, maka tidak mustahil seorang abang ipar jatuh cinta dengan adik isterinya sendiri.
Sebagai manusia kelemahan kita adalah nasfu dan bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan. Apalah ada pada cinta jika semuanya berlandaskan nafsu yang menyesatkan. Jika poligami hanya boleh berlaku jika masih ada wanita yang sanggup merampas kebahagiaan seorang wanita lain, maka memadukan adik beradik hanyta boleh berlaku keran hasutan syaitan yang boleh menyebabkan seorang adik tergamak merampas suami kakaknya atau anak saudara merampas suami ibu saudaranya.
Ia bukan saja akan melukakan hati saudara kandung tetapi merosakkan hubungan kekeluargaan. Seorang ibu tentunya sangat sukar membuat pilihan antara dua orang anak perempuannya apabila kedua-duanya menyintai lelaki yang sama.
Penulis :- PROF. MADYA DATIN NOOR AZIAH MOHD. AWAL
Pensyarah Fakulti Undang-undang UKM
kalau mati kakak.. boleh la nak kahwin dgan adik .. tak gitu?
ReplyDeleteboleh ajer.....tak dak masalah
ReplyDelete