Monday, 25 July 2011

Sabar itu indah tapi kalau sabar itu dosa?


Assalamualaikum dan Annyeonghaseyo


Cerita ini untuk renungan kita bersama.


Ketika saya sedang berehat selepas pulang dari kerja pada pukul 6 petang, saya menerima satu panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Bila dijawab terdengar suara seorang lelaki yang memberi salam dan bertanya, "Dr Fauziah, saya Z....., ingat tak saya pernah datang berjumpa Dr di ofis Dr?" Dan saya menjawab, "Ya, masih ingat, apa khabar?

Dengan suara mendatar, dia menjawab, "tak ada perubahan apa pun Dr. Tetap macam dulu."  Saya masih ingat lelaki berumur awal 30an ini datang ke pejabat saya bersama abangnya. pernikahannya yang baru berusia 7 tahun diuji apabila isterinya bertemu kekasih lamanya di facebook. Lebih hebat, isterinya tidak segan silu berterus terang dengannya dan menyatakan bahawa dia masih menyayangi kekasih lamanya yang belum bernikah. Isterinya juga berani mengatakan dia sering merindui kekasih lamanya. Tapi kerana kasih yang menebal kepada isteri, Z terus bersabar dan memilih utk bersemuka dengan kekasih isterinya. mereka berbincang dengan baik dan Z meminta agar kekasih isterinya memutuskan hubungan tersebut. Lelaki yang menjadi pujaan isteri Z, meminta maaf dan berjanji tidak akan berjumpa isteri Z lagi.

Tetapi isteri Z, L menangis dan merayu kekasihnya agar jangan meninggalkannya. Z hanya mampu memujuk isterinya agar berfikir dengan waras. Menurut Z, dia memang amat sayangkan isterinya dan dia juga tidak tergamak menceraikan isterinya kerana memikirkan anak mereka yang berumur 5 tahun. Z juga memberitahu saya, "Dr tahu tak, isteri saya sanggup buat tawaran kepada saya, kalau saya ceraikan dia, dia hanya mahukan rumah dan saya boleh ambil dan jaga anak kami." Mengucap saya pada waktu itu kerana tak pernah terlintas di fikiran saya seorang ibu sanggup memilih rumah dan bukan memilih anak jika bercerai dengan suaminya.Sudah banyak kes yang dirujukkan kepada saya, tetapi semua isteri yang berpisah menuntut anak-anak. bahkan ada wanita yang tidak mahu bernikah lain kerana takutkan kehilangan hak penjagaan anak. MasyaAllah dan astaghfirullah, itulah yg mampu saya ucapkan waktu mendengar cerita dari Z.

Dalam perbualan telefon semalam, Z memberitahu saya, "Dr, sekarang ni isteri saya hanya pasang badan utk kekasihnya. Duit gaji dia dihabiskan beli make up, kollagen dan macam2 lagi. dia langsung tak pedulikan saya dan anak kami Dr. Dulu kami tidur sebilik, sekarang ni dah berbulan-bulan kami cuma jadi rakan serumah. Dia sudah tidak mahu melayan saya sebagai suami."  Sebelum sempat saya berkata apa-apa, dia bertanya kepada saya satu soalan, " Dr,saya ni lelaki atau suami yang dayus ke?" .Saya terdiam dan sejujurnya, saya tak berani nak mengatakan "Z, awak suami yg dayus." Siapa saya untuk menghukum orang lain sebagai dayus. Siapa saya untuk menghukum dia sedangkan saya tidak berada di tempat dia.

"Saya tak tahu awak dayus atau tidak, tapi saya yakin apa yang buat awak bersabar ni adalah kerana awak terlalu sayangkan isteri awak. bagi saya, sekarang ni keputusan adalah di tangan awak. Sama ada awak mahu berpisah.menceraikan isteri awak dengan baik, atau berusahalah agar dia kembali mencintai awak."  Tapi Z menjawab, "saya dah cuba Dr, memujuk, menasihati, memarahi tapi belum pernah saya memukul dia. itu saja. Saya paling sedih bila tengok dia langsung tak pedulikan anak kami. Anak saya demam pun dia tak peduli, anak makan atau tidak pun dia tak bertanya. hancur hati saya tengok dia Dr. tapi kenapa saya tak ada kekuatan untuk menceraikan dia?"

Akhirnya saya memberitahu Z, " berikanlah beberapa pilihan kepada isteri awak. Pertamanya berubahlah menjadi isteri yang taatkan suami dan sayangi anak. berilah tempoh untuk dia berubah sehingga hujung tahun ini. Pilihan kedua, beritahu isteri awak, kalau dia tak berubah, awak akan bernikah lain. Pilihan ketiga, saya akan ceraikan awak tetapi awak tidak akan dapat rumah dan anak." Z memberitahu saya, 'masalah Dr, saya tak ada hati nak nikah lain. dan isteri saya tahu saya tak akan bernikah lain. dia tahu saya teramat sayangkan dia walaupun macam-macam cara dia menyakiti hati saya."

"Itu saja yang saya mampu nasihatkan kepada awak Z, kalau boleh bawalah isteri awak berjumpa kaunselor atau mana-mana ustaz. Saya dah beritahu awak dengan jelas, segala keputusan sekarang ada di tangan awak." Z mengucapkan terima kasih dan perbualan petang semalam tamat dengan kata-katanya, "Okay Dr, nanti saya hubungi Dr lagi. isteri saya dah sampai tu.' Rupa-rupanya dia menelefon saya ketika sedang menunggu isterinya balik dari pejabat. Dalam terluka, dia masih terus menyayangi isterinya dan berharap agar isterinya kembali ke pangkal jalan.Dia masih terus menjalankan tanggungjawabnya sebgai seorang suami dan ayah dan paling saya kagum dia tidak curang kepada isterinya yang menyakiti hatinya.

Allah berfirman di dalam surah Yusuf yg bermaksud, "Sabarlah, sesungguhnya sabar itu indah." Sesuatu yang bersifat subjektif. Sabar akan menjadi sesuatu yang manis dan indah jika hujung kesabaran itu adalah seperti yang kita harapkan. Bila kita mengharapkan org yg kita kasihi tapi sering menyakiti hati kita akan berubah sikapnya. Tapi jikalau perubahan yang diimpikan tidak juga muncul, apakah kita perlu terus bersabar? Dan paling malang jika kesabaran itu membawa kita kepada dosa. fikir-fikirkanlah. Kepada para isteri yang mempunyai masalah seperti ini, insaflah. Kepada para suami yang mempunyai isteri yang teramat berani ini, saya tidak akan berkata anda lelaki yang dayus.Tetapi anda perlu tegas kerana kalau anda sayangkan isteri anda, jangan terus biarkan dia melakukan dosa kepada anda, kepada anak dan paling penting kepada Allah.

Mohon maaf jika ada tutur kata saya yg menyakiti hati sesiapa yang membaca artikel ini.

"Jika tidak boleh menggembirakan hatinya, janganlah ditambah duka laranya.'

Wassalam
Dr Fauziah




No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan kesan kasut selipar anda d sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...