Air Mata 12 Rabi'ul Awal
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam mulai sakit
Rasulullah
 Sallallahu ‘alaihi wassalam mulai gering. Baginda bertanya kepada 
isteri-isterinya: “Giliranku esok di mana? “Di mana aku esok?”.
Isteri-isteri
 yang penuh kasih sayang memberikan pilihan kepada suami yang tercinta, 
untuk memlih di mana saja dia ingin berada. Rasulullah Sallallahu 
‘alaihi wassalam memilih rumah si pipi merah, Aisyah binti Abu Bakar 
Radiallahu ‘anhu.  Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam menghabiskan 
sisa-sisa hujung kehidupannya di rumah ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu..
Di
 rumahnya, ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu membacakan surahal-Falaq dan an-Nas 
serta doa-doa yang dihafalnya, sambil meniupkan ke seluruh tubuh baginda
 Sallallahu ‘alaihi wassalam. Begitu kasihnya ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu 
kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam.
Sayangnya
 nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam kepada umatnya. Di saat akhir 
kehidupannya, lima hari sebelum nyawanya diambil, nabi Sallallahu 
‘alaihi wassalam meninggalkan pesanan yang mungkin dilupakan oleh ramai 
umatnya di zaman kini. Pesanan baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam 
berbunyi:
“Allah
 melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan kubur 
nabi-nabi mereka sebagai masjid”.  Baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam 
meneruskan nasihatnya: “Jangan kalian jadikan kuburku sebagai berhala 
yang disembah”.
Empat Hari Sebelum Saatnya Tiba
Baginda
 Sallallahu ‘alaihi wassalam tetap mengimami solat berjemaah sehinggalah
 solat maghrib pada hari keempat sebelum ajalnya tiba. Menjelang Isya’, 
sakit baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam semakin mencengkam. Sakitnya 
itu tetap tidak menghalang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam 
daripada mengambil berat tentang solat Jemaah umatnya. Baginda 
Sallallahu ‘alaihi wassalam berkata:
“Adakah semua orang telah mendirikan solat?”
Jawab para sahabat: “Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu.”
“Baginda
 Sallallahu ‘alaihi wassalam berkata: Sediakan bekas air untuk ku.” Lalu
 para sahabat melakukannya, nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam cuba 
menyegarkan dirinya dengan air tersebut. Baginda Sallallahu ‘alaihi 
wassalam cuba bangun, tetapi tidak mampu. Sakit masih mencengkamnya. 
Baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam jatuh pengsan.
Nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam terjaga, lalu bertanya:
“Adakah semua orang telah mendirikan solat?”
Para sahabat menjawab: “Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu.”
Baginda
 Sallallahu ‘alaihi wassalam menyegarkan lagi dirinya dengan air, tetapi
 masih tidak terdaya. Baginda bertanya lagi berulang kali:
“Adakah semua orang telah mendirikan solat?”
Sahabat Radiallahu ‘anhu yang ada memberikan jawapan yang sama: Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu.
Berulang
 kali soalan itu ditanya oleh nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam. Baginda 
Sallallahu ‘alaihi wassalam terlalu gering, tidak mampu untuk mengimami 
solat, walau sudah berulang kali baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam 
berusaha menyegarkan badannya. Akhirnya, nabi Sallallahu ‘alaihi 
wassalam menyuruh Abu Bakar Radiallahu ‘anhu mengimami solat 
menggantikan baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam.  Abu Bakar Radiallahu 
‘anhu memikul amanah itu, semenjak hari itu, dia telah mengimami 
sebanyak tujuh belas kali solat fardhu.
Senyuman Subuh Terakhir
Umat
 Islam sedang mendirikan solat Subuh bersama Abu Bakar Radiallahu ‘anhu.
 Tiba-tiba Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam menyingkap tabir di 
bilik ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu lalu memandang ke arah mereka. Baginda 
tersenyum dan tertawa.
Abu
 Bakar Radiallahu ‘anhu dengan penuh hormat mengundurkan dirinya kerana 
menyangka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam ingin bersolat bersama 
mereka.
Kerana
 terlalu gembira, para sahabat sehingga mahu berhenti solat ketika itu. 
Tetapi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam memberikan isyarat agar 
solat diteruskan. Kemudian baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam masuk 
semula ke dalam biliknya, dan menutup tirainya.
Tangisan dan ketawa Fatimah Radiallahu ‘anhu
Pagi
 itu, nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam membisikkan sesuatu di telinga 
Fatimah Radiallahu ‘anhu. Fatimah menangis mendengarnya. Kemudian nabi 
Sallallahu ‘alaihi wassalam memanggil puterinya sekali lagi, lalu 
berbisik. Kali ini Fatimah ketawa keriangan.
Aisyah Radiallahu ‘anhu dan isteri yang lain kehairanan lalu bertanya kepada Fatimah Radiallahu ‘anhu.  Dia menjawab:
“Rasulullah
 Sallallahu ‘alaihi wassalam membisikkan kepada ku bahawa baginda akan 
wafat dengan sakit yang dihadapinya, lantas aku pun menangis. Kemudian 
baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam membisikkan kepada ku bahawa akulah 
ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepasnya, aku pun ketawa.
Fatimah
 Radiallahu ‘anhu puteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam berasa 
kasihan kepada ayahnya yang kesakitan, lalu dia berkata kepada ayahnya:
“Alangkah deritanya ayah..”
Nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam menjawab: “Selepas ini tiada lagi penderitaan ke atas ayah mu.”
Baginda
 Sallallahu ‘alaihi wassalam meninggalkan nasihat buat umatnya: “Jagalah
 solat, jagalah solat, dan hamba-hamba yang dimiliki.”
Di atas pangkuan ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu
Nabi
 Sallallahu ‘alaihi wassalam berada dalam pelukan isteri tercinta, 
‘Aisyah Radiallahu ‘anhu.  Saudara lelaki ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu, 
Abdul Rahman bin Abu Bakar muncul sambil membawa sebatang kayu sugi.
Rasulullah
 Sallallahu ‘alaihi wassalam memandang ke arah Abdul Rahman. Si isteri 
tercinta memahami isi hati suaminya. ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu tahu nabi 
Sallallahu ‘alaihi wassalam ingin kan kayu sugi tersebut. 
‘Aisyah Radiallahu ‘anhu bersuara:
“Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?”. Baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam menganggukkan kepala setuju.
‘Aisyah
 Radiallahu ‘anhu mengambil kayu sugi, lalu menghulurkannya kepada 
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam. ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu 
menyedari kayu sugi itu terlalu keras, lalu dia mengambilnya kembali. 
Dia bertanya lagi:
“Mahukah jika aku lembutkannya untuk mu?”. Baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam mengangguk tanda bersetuju.
Lalu,
 ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu melembutkan kayu sugi itu dengan 
menggigit-gigit hujungnya. Lalu ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu memggosokkan 
giri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam dengan kayu tersebut.
Nabi
 Sallallahu ‘alaihi wassalam wafat atas pangkuan ‘Aisyah Radiallahu 
‘anhu, dengan bersatunya air liur ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu dan 
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam.
Akhirnya…
Baginda
 Sallallahu ‘alaihi wassalam berasa sakit. Baginda Sallallahu ‘alaihi 
wassalam mencelup tangannya di dalam air, kemudian menyapu mukanya, lalu
 berkata: Tidak ada Tuhan selain Allah. Sesungguhnya pada kematian itu 
ada kesakitan.
Selesai
 sahaja bersugi, baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam mengangkat tangan 
atau jarinya ke langit, lalu menyebut: “Bersama orang-orang yang engkau 
berikan nikmat kepada mereka, daripada kalangan nabi-nabi, siddiqin, 
syuhada’ serta solihin. Ya Allah, ampunilah diri ku, rahmatilah diri ku.
 Temukanlah aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah Teman Yang 
Tertinggi”.
Tangisan Para Sahabat
Anas
 bin Malik Radiallahu ‘anhu berkata:  Tidak pernah aku melihat hari yang
 paling baik dan berseri-seri melainkan hari Rasulullah Sallallahu 
‘alaihi wassalam sampai kepada kami, dan tidak pernah aku melihat hari 
yang paling buruk dan gelap melainkan pada hari kewafatan nabi 
Sallallahu ‘alaihi wassalam.
Berita kematian nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam tersebar, tangisan tidak tertahan lagi. Air mata sahabat bercucuran.
Fatima,
 puteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam Radiallahu ‘anhu berkata:
 Duhai ayahanda kesayanganku, yang telah menyahut panggilan Tuhannya, 
duhai ayahanda kesayanganku, syurga Firdaus tempat kembalinya, duhai 
ayahanda kesayanganku, kepada Jibril kami sampaikan berita kewafatannya.
Umar
 Radiallahu ‘anhu hilang pertimbangan, kecintaannya kepada nabi 
Sallallahu ‘alaihi wassalam membuatkan dia seakan tidak sedar apa yang 
dia katakan. Umar Radiallahu ‘anhu berteriak dengan suara yang lantang:
“Ada
 orang-orang munafiq yang mendakwa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi 
wassalam telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi 
wassalam tidak mati, tetapi baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam pergi 
bertemu Tuhannya sebagaimana Musa bin ‘Imran yang menghilangkan diri 
daripada kaumnya selama empat puluh hari. Kemudian dia kembali semula 
kepada kaumnya setelah orang berkata dia telah mati. Demi Allah! 
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam akan kembali dan memotong tangan 
dan kaki orang yang mengatakan baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam telah
 mati!”.
Abu
 Bakar Radiallahu ‘anhu bergegas pulang tatkala mendengar berita 
kematian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam. Dibukanya kain yang 
menutupi nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam, dipeluk dan diciumnya nabi 
Sallallahu ‘alaihi wassalam.
Abu Bakar menenangkan umat..
Umar
 Radiallahu ‘anhu masih lagi mengungkapkan kata-katanya tadi. Abu Bakar 
Radiallahu ‘anhu berkata kepada Umar Radiallahu ‘anhu: “Duduklah Umar!”.
 Tetapi Umar Radiallahu ‘anhu enggan untuk mendengar arahan Abu Bakar 
Radiallahu ‘anhu.
Abu
 Bakar Radiallahu ‘anhu terus berkata: “Sesiapa di kalangan kamu yang 
menyembah Muhammad Sallallahu ‘alaihi wassalam, sesungguhnya Muhammad 
Sallallahu ‘alaihi wassalam telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, 
maka sesungguhnya Allah Hidup dan tidak mati.” Beliau terus  membaca 
surah Ali Imran, ayat 144:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Para
 sahabat terpaku. Mereka tersedar daripada lamunan mereka. Mereka mulai 
sedar hakikat nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam telah meninggalkan 
mereka. Kata-kata Abu Bakar Radiallahu ‘anhu menyentap jiwa mereka yang 
sedang kesedihan, mengambalikan mereka kepada kewarasan.
“Demi
 Allah! Seakan-akan manusia tidak mengetahui bahawa ayat ini pernah 
diturunkan sehinggalah Abu Bakar membacanya. Lalu semua orang mengambil 
ayat itu daripada Abu Bakar. Lantas semua orang yang mendengar ayat itu 
dibaca, turut membacakannya”, demikian kata Ibnu ‘Abbas Radiallahu 
‘anhu.
Umar Radiallahu ‘anhu yang tadi terlalu sedih hingga mengeluarkan kata-kata yang yang menggoncang akidah umat Islam, tersedar daripada kesilapannya. Ayat itu menyentap jiwanya kembali, menenangkan kembali hatinya yang sedang berkecamuk:
“Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi apabila mendengar Abu Bakar membacakannya. Maka yakinlah aku, nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam telah wafat”.
[Ringkasan daripada ar-Rahiq al-Makhtum susunan Shaikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri. Edisi terjemahan bertajuk Sirah Nabawiyyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)]
---------------------
Akhirnya 12 Rabi’ul Awal tahun 11 Hijrah, hari Isnin, perginya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam meninggalkan umatnya.
Mana mungkin umatnya tidak menangis tatkala baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam meninggal dunia, sedangkan ketika hidupnya baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam menempuh 1001 ujian dan seksaan hanya kerana menyampaikan Islam kepada umatnya.
Bagaimana nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam yang sebelumnya dipercayai oleh semua penduduk Mekah, akhirnya ditolak dan dicerca tatkala berdiri di Bukit Safa, menyeru kaumnya kembali kepada Allah.
Bagaimana mungkin kita lupa, ketika nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam sedang sujud di Masjidil Haram, lalu kaum musyrikin meletakkan najis dan kotoran di atas batang tubuh nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam. Lalu munculnya Fatimah Radiallahu ‘anhu menangis sambil membersihkan tubuh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wassalam.
Bagaimana kita boleh lupa, nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam ketika pertama kali mengajak penduduk Madinah kepada Islam, baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam dibalas dengan lontaran batu. Setiap penjuru jalan yang baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam lalui, kanak-kanak, hamba dan kaum wanita menanti sambil melemparkan batu-batu ke arah nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam. Lalu malaikat menawarkan tawaran untuk memusnahkan mereka yang menyakiti nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam, tetapi nabi Sallallahu ‘alaihi wassalam menolak tawaran itu, kerana masih yakin akan datang masanya generasi kemudian menerima dakwah beliau.
Bagaimana kita boleh lupa…………….
 
sedih...
ReplyDeleteAllahumma solli a'la Muhammad, wa a'la ali Muhammad..
2lah pasai...sedih sangat
DeleteHebatkan Rasullullah SAW...emmmm menitis air mata bacanya..:-(
ReplyDelete